Pesan Buat Si Taksub

Ini pesanku…
Apabila bercakap tentang Islam
Jangan ditaksubkan insan lebih dari pencipta alam
Apabila bercakap tentang alim
Jangan pula tindak-tanduk segala zalim
Apabila bercakap tentang keadilan
Jangan segala kesukaan dimenangkan
Apabila bercakap tentang reformasi
Lihat dulu kejayaan di segala sisi

Kerana…
Manusia dibeza dengan ilmu
Diangkat kerana ilmu
Jangan nanti yang dikejar tak dapat
Yang dikendong lumpuh berciciran
Mana nanti segala bebal jadi sesal
Segala marah hilang maruah

Jangan kerana sedikit luka di hati
Ditelan segala kata beracun
Demi mencapai segala impi
Hingga lupa doa dipohon

Posted in | 0 comments

Gerimis Ramadhan

Sama seperti dulu-dulu,
Puas kutepis gerimis yang jatuh ke pipi,
Namun tak pasti kerana ianya tetap di situ,
Gerimiskah? Atau air mataku?
Kerana Ramadhan ini terasa sunyi benar tanpa mereka,
Lain sungguh segalanya.

Dulu,
Di sinilah ibu acapkali bertanya,
Nak baju raya warna apa?
Nak dijahit bagaimana rupa?
Berapa pasang mahumu? Sambil dicium-cium pipiku,
Aku pula,
Cuba mengelak kerana malu di depan orang.
Kini semua sudah sepi,
Kalau hari ini aku ditanya
Aku pastinya tidak lagi mahukan baju raya berpasang-pasang,
Cukuplah aku punya ibu bersama,
Aku mahu ibu.
Akan kupeluk erat kucium-cium tak mahu aku malu lagi.

Dulu,
Waktu beginilah ayah sudah mulai bertanya,
Juadah hari ini apa mahumu?
Airnya nak yang mana satu? Sambil tersenyum.
Aku pula,
Sibuk merajuk kerana segalanya seperti tidak cukup,
Kerana ayah terlupa bawa pesanku,
Kerana ayah tersalah cita rasanya.
Kini aku sesali,
Cukuplah jika dapat berbuka bersama,
Aku mahu ayah.
Jika ayah kembali biar ayah yang aku layani,
Takkan lagi merajuk sendiri,
Apa pun bawaanmu aku hargai.

Hari ini segalanya sepi,
Segalanya sunyi kerana aku sendiri,
Ya Allah,
KAU sampaikanlah amalanku ini,
Buat kedua orang tuaku,
Tempatkanlah mereka bersama orang yang KAU sayangi,
Kerana mereka tak pernah jemu sayangkan anak ini,
Inilah tinggal untukku berbakti.

Posted in | 0 comments

Soalku Kepada Cermin

Soalku kepada cermin,
Adakah benar aku ini marah?
Adakah benar aku ini benci?
Adakah benar aku tidak peduli?
Adakah mungkin aku akan menang?

Kubelek-belek jendela sebentar,
Kutenung-tenung beburung di luarnya,
Jelas mereka gembira.

Lagi soalku kepada cermin,
Perlukah aku marah dengan kejadiannya?
Layakkah aku manusia untuk membencinya?
Jika aku tidak peduli, mana mungkin kuberfikir tentangnya kini.
Jelas aku kalah sejak awal lagi,
Tidak mampu pun mengawal diri sendiri.

Kutenung jauh di luar jendela,
Kutatap puas beburung disana,
Jelas aku sayangkan bahagia.

Kuberkata pula kepada cermin,
Tidak layak diri ini untuk marah dan mencerca,
Kerana si burung pun tahu untuk menerima,
Dendam dalam dirinya hampir tidak ada,
Tidak pun mereka marahkan manusia,
Biarpun sering menyakiti mereka.
Kerana mereka sedar itu fitrahnya manusia.

Posted in | 0 comments

Baju Raya Adik

“Aduh, Ayu tolong mak!” Fatimah menjerit-jerit memanggil anak sulungnya
itu. Ayu terus berlari ke arah Fatimah, meninggalkan lauk yang dimasaknya di
dapur.
“Kenapa ni mak?” Ayu membajai pertemuan itu dengan persoalan.
“Entahlah Ayu, masa mak sapu sampah kat halaman ni tiba-tiba rasa sakit
sangat kaki mak ni”. Fatimah cuba merungkai persoalan di pucuk fikiran anaknya
sambil cuba berdiri dengan bantuan Ayu. Ayu membantu ibunya melangkah
masuk ke dalam rumah mereka sambil diperhatikan oleh Shahril, anak bongsu
Fatimah yang manja itu. Fatimah mengusap-usap kepala Shahril yang tidak
mengerti apa yang sedang berlaku.
“Ayu, pergilah kau ke dapur tu, mak tak apa-apa”. Fatimah cuba
menenangkan hati Ayu. ‘Hari ni genap 18 tahun umur Ayu. Maafkan mak, mak
tak dapat menyekolahkan kau’. Hati Fatimah berbisik sunyi. Ayu terus bangun
dan menuju ke dapur semula, menyambung kerja yang ditinggalkan.
“Mak, minta sepuluh ringgit, saya dah janji dengan kawan nak ke pekan
sama-sama”. Aqilah bersuara lantang sambil menghulurkan telapak tangan
kanannya ke arah Fatimah.
“Mak mana ada duit Qilah. Kalau kau dah janji, ambillah ni, ni yang ada”.
Fatimah menyerahkan hasil keringatnya kepada anak ke duanya itu.
“Tak cukuplah mak”. Aqilah meninggikan suara kepada ibu tua itu.
Fatimah tunduk mengenangkan suaminya yang telah lama meninggalkan
mereka sekeluarga. Ingatannya mengalpakan Fatimah dalam lamunan yang
panjang. Ibu tua itu bercakap sendiri. ‘ Abang, lihatlah anak-anak kita dah besar,
sudah dewasa nafsunya’. Fatimah mendiamkan dirinya, akur dengan nasib yang
menimpanya.
Bulan purnama yang tersenyum riang menemani Ayu yang rajin mengutip
taburan ilmu di dalam bukunya itu. Anak sulung Fatimah yang tidak berpeluang
ke sekolah seperti adik-adiknya itu, tidak pernah jemu untuk menambah ilmu
pengetahuannya.
“Fatimah!” Seorang wanita memecahkan keheningan malam itu. Fatimah
menyusuri laluan takdirnya.
“Oh, kau Mah. Ada apa?”
“Boleh kau tolong jahit baju aku?”
“Kau bawa kainnya?” Salmah hanya mengangguk menjawabnya.
“Naiklah, aku nak ambil ukurannya”. Fatimah menjalankan tugas dan
tanggung jawabnya sebagai seorang tukang jahit dan rakan. Setiap ceruk badan
Salmah diukurnya.
“Kau buat kebaya tau”. Salmah mengarah.
“Baiklah Mah.” Fatimah akur.
Malam semakin tua. Fatimah masih menjahit baju-baju raya yang
diamanahkan kepadanya. Aqilah dan Shahril nyenyak memanfaatkan malam itu.
Ayu masih tekun. Ayu bangun dari duduknya.
“Mak sudahlah, dah lewat ni”.Ayu cuba memujuk Fatimah tidur.
“Baiklah Ayu”. Fatimah bangun menuju ke bilik tidurnya. Ayu merebahkan
badannya
di atas kerusi panjang di ruang tamu rumahnya. Matanya tak nak lelap walaupun
dipaksa. Ayu membayangi dirinya sedang belajar di sekolah. Ayu ingin amat ke
sekolah dan belajar bersama rakan-rakan yang seusia dengannya. Kejayaan
hanyalah sebuah potret bagi Ayu. Sedang lamunan itu menusuk ke hati Ayu,jam
locengnya bersuara.
“Sudah pukul empat pagi”. Ayu bangun menyiapkan santapan sahur untuk
mereka sekeluarga. Setelah siap, Ayu membangunkan seorang demi seorang
ahli keluarganya untuk bersahur bersama. Hidangan yang disediakan dijamah
sedikit demi sedikit. Setelah selesai, Ayu mencuci pinggan mangkuk di dapur.
Azan subuh bergema mengejutkan seluruh angkasa.
Suria pagi masih mentah. Ayu keluar menjemur kain di halaman
rumahnya. Fatimah sibuk menyelesaikan tempahan-tempahan yang masih
belum selesai. Salmah melangkah masuk ke halaman rumah Fatimah.
“Fatimah!”
“Masuklah Mah”. Fatimah menyeru.
Salmah menggagahkan langkahnya meniti satu-satu anak tangga rumah
usang Fatimah itu. Salmah masuk.Dia merebahkan punggungnya di atas kerusi.
Fatimah membawa satu bungkusan berjalan menuju ke arah Salmah sambil
mengurut-urut kakinya yang sakit. Fatimah menyerahkan bungkusan tersebut
kepada Salmah.
“Berapa?” Salmah melempar benih-benih persoalan.
“30 ringgit”.
“Mahalnya, dengan kawan pun kau berkira”.
“Aku ikut harga biasa. Raya ni aku nak pakai duit”.
“Macam ni kau layan kawan kau, murahlah sikit”.
“Ikutlah berapa kau nak bagi”.
“Nah”.Salmah menghulurkan habuan untuk Fatimah.
Fatimah mengambil duit upah itu. Salmah bangun meninggalkan rumah
Fatimah. Ayu memerhatikan kelibat Salmah sehingga hilang dari pandangan
matanya. Ayu berjalan naik ke rumah.Ayu menuju ke arah ibunya. Ayu
memegang tangan Fatimah dan mengambil wang yang telah diberi oleh Salmah
daripada tangan ibunya.
“10 ringgit je”. Ayu mulai naik berang .
“Biarkanlah Ayu”. Fatimah cuba memujuk.
“Orang macam ni berani nak mengaku sebagai kawan”.
Ayu menyerahkan wang itu kepada Fatimah. Dengan hati yang hancur,
Ayu turun meyambung kerjanya yang tergendala. Shahril pulang daripada
permainannya . Fatimah tersenyum melihat kelibat anaknya dari jauh. Shahril
berlari naik dan menerpa ke arah Fatimah. Fatimah memeluk anak manjanya itu.
“Mak…kawan adik semua ada baju raya. Shahril pun nak baju raya”.
Shahril bersuara. Sayup hatinya.
Fatimah tersentak mengenang nasib anaknya itu. Aqilah diam di dalam
biliknya dijinakkan oleh radionya. Fatimah memandang mata anak kecilnya itu.
Berlinangan air mata Fatimah sambil menghitung lebih kurang seminggu lagi
Hari Raya.
Malam itu seperti biasa Fatimah bersiap untuk pergi menunaikan
sembahyang terawih. Fatimah keluar rumah pada malam itu sambil disaksikan
oleh anak-anaknya. Setibanya di halaman rumahnya, Fatimah menoleh
kebelakang seperti ada sesuatu dipucuk fikirannya. Ayu tidak berprasangka
terhadap ibu tuanya itu. Jam menunjukkan tepat pukul 9.30 malam. Ayu
mencongak barang-barang yang diperlukan untuk membuat ketupat dan yang
diperlukan untuk kegunaan di Hari Raya. Aqilah dan Shahril masih memuaskan
nafsu di meja makan .
“Qilah, adik, kamu nak ikut kakak pergi kedai tak?” Ayu bersuara.
Aqilah dan Shahril mengangguk sambil beredar dari meja makan.
Tepat jam 9.45 malam tiga beradik itu menyusur jalan-jalan menuju ke
sebuah Supermarket berhampiran. Ayu menjejakkan kakinya dihadapan
pasaraya tersebut.
Dilihatnya pintu tertutup rapat. Ayu memberanikan diri menjenguk dari cermin
pasaraya tersebut. Dilihatnya seorang wanita tua sedang mengesot mencuci
lantai pasaraya itu dengan tangannya. Aqilah dan Shahril turut melihat wanita itu.
Hati kecil Ayu mengenali wanita itu. Wanita itu menoleh ke arah Ayu ,Aqilah dan
Shahril.
“Mak!” Shahril berteriak .
Ayu menolak pintu pasaraya itu. Ayu, Aqilah dan Shahril berlari
mendapatkan ibunya itu. Mereka berpelukan sambil membasahi pipi dengan air
mata dan tangisan.
Fatimah hanya tersenyum.
“Kenapa mak buat semua ni?” Ayu bertanya.
“Mak nak beli baju raya untuk kamu tiga beradik”. Sambil memandang ke
arah Shahril. Shahril dapat merasakan kasih sayang ibunya itu. Aqilah hanya
menangis menyesali perbuatannya terhadap insan mulia itu. Ayu masih hiba dan
terkejut melihat keperitan ibunya itu.
“Maafkan Qilah mak”. Aqilah mula menyalahkan dirinya terhadap
perangainya sebelum ini.
“Adik tak nak baju raya mak. Adik nak mak!” Shahril menangisi
permintaannya.
Fatimah hanya tersenyum sambil air mata mengalir berlinangan
menyirami malam itu. Kedengaran tapak kaki dari belakang. Encik Lim, pemilik
pasaraya tersebut yang datang.
“Maaf kami mengganggu tuan.” Suara Fatimah sayup kedengaran.
“Fatimah, saya dah kata, jangan kerja, awak tak sihat.” Encik Lim
bertegas.
“Saya perlu, tuan. Anak saya nak baju raya.
“Saya kawan suami awak, tak banyak yang saya boleh tolong. Awak ambil
duit ni buat belanja Hari Raya.” Encik Lim menghulurkan dua ratus ringgit kepada
Fatimah dengan harapan agar Fatimah sekeluarga gembira menyambut Hari
Raya.
Takbir raya bergema. Ayu , Aqilah dan Shahril memperagakan baju baru
masing-masing. Fatimah sedang bersiap untuk ke masjid bagi menunaikan
sembahyang sunat Hari Raya. Setelah selesai, Ayu, Aqilah dan Shahril
memohon maaf kepada Fatimah .
Kedengaran bunyi motokar masuk ke halaman rumahnya. Fatimah
melihat Encik Lim sekeluarga berkunjung ke rumah mereka. Shahril yang
sedang gembira dengan baju rayanya meluru ke arah Encik Lim.
“Wah! Cantiknya.” Encik Lim menghiburkan hati Shahril.
“Cantiknya baju raya adik.” Shahril membalas dengan gurauan .
Fatimah dan Ayu sibuk melayani Encik Lim sekeluarga dan Hari Raya
tahun ini menjadi Hari Raya paling bermakna bagi mereka sekeluarga.

Posted in Labels: | 0 comments

Takkan Melayu Hilang Di Dunia

Takkan melayu hilang di dunia,
Falsafah pegangan hidup seorang laksamana.
Sudah menjadi adat melayu,
Budaya setia kepada pemimpinnya,
Oleh kerna setialah,
Laksamana berlima tinggal berempat,
Bendahara terbilang tidak membantah terima hukuman,
Laksamana Bentan hilang insan tersayang.

Takkan melayu hilang di dunia,
Prinsip warisan melayu dulu kala.
Sudah menjadi adat melayu,
Budaya kesopanan dan kesusilaan,
Oleh kerna sopanlah,
Melayu sentiasa di belakang,
Melayu sentiasa ditindas,
Melayu tak cuba memajukan diri.

Jadikanlah adat melayu,
Budaya berfikir sebelum bertindak.
Usah hikayat Pak Pandir dan Lebai Malang,
Melayu jadikan ikutan sepanjang hayat.
Jangan hanya kerana sejarah
Takkan melayu hilang di dunia.

Posted in | 0 comments

Ombak Hikmah

Dari tiada petunjuknya,
Ombak hikmah menelan
Satu-satu pesisir pantai ini.
Membimbit kejutan maha raksasa,
Mengejutkan yang alpa dan terlena,
Menyatukan seluruh dunia.

Dari sirnanya warna kehidupan,
Menjengah ke lubuk perkasaan pilu,
Hati-hati nestapa mengenangkan;
Semalam yang girang,
Hari ini yang gersang,
Esok yang belum mendatang,
Hanyut digapai arus.

Dari wajah kalian yang suram,
Tertegaknya sebatang pohon keredaan,
Terkuncinya tangisan dan senyuman.
Namun,
Keluhan ‘Tsunami’ ini,
Tiada bisa dilupakan,
Hingga penghujung hari.

Posted in | 0 comments

Catatan Buat Cikgu Kamelia


‘Kuala Lumpur,selasa-Sistem Pendidikan Negara akan diubah suai bagi
menerap dan meningkatkan pemahaman serta kesedaran rakyat,’belum sempat ku sudahi
warkah itu,kelihatan seorang wanita yang berumur dalam lingkungan 30-an melangkah
masuk ke dalam kelasku.Berbekalkan sebatang pen merah dan sebuah buku teks, wanita
itu mengukir senyuman kepadaku.

“Assalamualaikum, saya Cikgu Kamelia.Saya guru baru bagi kelas kamu, dan saya akan mengajar kamu dalam matapelajaran sejarah.” Itulah ungkapan pertama darinya. Apabila kumenoleh ke belakang, mataku khusyuk memerhatikan gelagat Kamarul dan rakan-rakannya. Aku pasti ada sesuatu yang tak kena. Tentu mereka merancang untuk
melakukan sesuatu kerana begitulah adat menyambut guru baru di kelas kami.

“Cikgu boleh saya tanya sikit?”Kamarul mulai tunjuk belang.
“Boleh apa salahnya.”Cikgu Kamelia tidak dapat menghidu niat sebenar Kamarul.
“Cikgu dah kahwin ke belum?”gurauan Kamarul untuk mempersenda Cikgu Kamelia. Namun senyuman di wajah Cikgu Kamelia masih terukir mesra. Mungkin
hatinya masih tabah dan mampu bersabar. Cikgu Kamelia bangun dari kerusinya.

“Saya harap kamu tak kisah kalau saya nak berkenalan dengan kamu semua.”
“Kami tak kisah cikgu, cikgu nak mula dari mana?”Aku memberanikan diri untuk
bertanya.

“Apa kata kita mula dari awak..”Telunjuknya tepat ke arahku, aku tahu akulah orang yang mula-mula akan dikenalinya di kelas ini.

“Nama saya Mohd Asrul bin Jamil.”Jawabku ringkas mengisi kekosongan
soalannya.

“Saya pula John Robinson panggil saya Kamarul.”Gurauan Kamarul
mempermainkan Cikgu Kamelia.

Masa silih berganti meneruskan putaran roda kehidupan ini, sementara kami
mengisinya dengan beramah mesra. Loceng berbunyi. Cikgu Kamelia masih tetap mesra
dengan senyuman menghiasi wajahnya yang ayu itu, dan melafazkan ‘terima kasih’
sebelum melangkah keluar dari kelasku.

Matapelajaran sejarah sudah tamat, ini bermakna waktu pulangku baru sahaja
bermula. Di waktu angin sepoi-sepoi bahasa menyapa tubuhku, dan gerimis mengusap
rambutku, aku teruskan juga perjalananku menuju ke rumah tempat lahirku.

Dalam perjalananku, sekumpulan remaja menarik perhatianku. Dari jauh ku
perhatikan tingkah laku mereka. Kamarul, Nizam, dan Fadzil berada bersama budak-
budak samseng itu, fikirku pasti ada sesuatu yang tak kena. “Aku bukan pahlawan, kalau mereka nak cari gaduh bagaimana? Lebih baik aku tak payah campur.”Bisik hatiku
sendirian.

“Assalammualaikum.”
“Waalaikummussalam.”Cikgu Kamelia mengungkap kata buat seantero pelajar kelasku. Hari ini hari keduanya, namun senyumannya masih mesra, tentunya Cikgu
Kamelia bukan seorang pemarah malah adalah seorang yang mudah mesra. Seronok aku
melihat petah lidahnya berhujah untuk menerangkan mengenai ‘Sejarah Pembukaan
Melaka’ kepada pelajar kelasku. Bagiku Cikgu Kamelia adalah seorang guru yang
berdedikasi, dan berazam tinggi. Aku harap Cikgu Kamelia akan terus mengajar kami.

“Woi! Kamarul, kalau kau anak jantan esok jumpa kami di taman.”Kedengaran
suara dari luar jendela kelasku.Bagiku pasti ada masalah yang akan timbul.Namun,apa
yang kulihat daripada wajah Kamarul hanyalah secangkir senyuman bukannya sebidang
ketakutan. ‘Adakah Kamarul akan menyahut cabaran itu.’Bisik hatiku, cuba untuk
meramal keadaan.Kamarul menoleh ke arah Fadzil dan Nizam, bagiku ia bukan petanda
yang baik.Walau bagaimanapun esok akan menjawab segala-galanya.

“Cikgu! Kamarul dan kawan-kawannya tak datang sekolah hari ini, mungkin
mereka pergi ke taman.”Laporku untuk melihat reaksi Cikgu Kamelia.Namun, apa yang
berlaku adalah luar jangkaanku.Cikgu Kamelia menyusun langkahnya bergegas ke
taman, ini membuktikan Cikgu Kamelia mengambil berat terhadap setiap pelajarnya
tanpa menilai bagaimana layanan daripada pelajar itu. Bagiku, guru begini bisa
menggoncang buana ini.

Dari jauh kami menyaksikan sketsa kehidupan yang dilakonkan di taman. Mereka masih berbual. Beberapa ketika kemudian keadaan diserikan dengan pergaduhan. Aku tersentak apabila Cikgu Kamelia memberanikan diri mengatur langkah ke taman.‘Mungkinkah Cikgu Kamelia akan cuba meleraikan pergaduhan itu?’ persoalan yang bermain di fikiranku. Jika benar sangkaanku, kejayaannya untuk meleraikan pergaduhan itu bukanlah satu cara yang baik kerana mereka pasti akan terus berdendam.

Setibanya Cikgu Kamelia di taman, dia cuba untuk meleraikan pergaduhan itu. Salah seorang daripada samseng itu menyerang Cikgu Kamelia. Dalam sekelip mata Cikgu Kamelia rebah menyembah bumi. Darah suci yang bercucuran daripada tubuh seorang guru menyirami rerumput di taman. Aku tergamam. Setibanya polis di taman, bagiku mereka sudah terlambat. Ambulans membawa Cikgu Kamelia ke hospital.

Apabila aku melangkahkan kakiku di hospital, aku disambut tangisan yang penuh kasih sayang oleh seorang wanita yang sudah berumur, aku pasti dia adalah bonda Cikgu Kamelia.

“Cikgu Kamelia sudah tiada, bersabarlah.” Cikgu Haizal menyampaikan berita
sedih itu kepadaku sambil mengusap rambutku. Aku sedar walaupun aku mengalirkan
air mata darah sekalipun Cikgu Kamelia takkan kembali lagi. Perginya kali ini adalah
buat selamanya. Hancurlah harapanku untuk belajar dengan Cikgu Kamelia sehingga
tamat persekolahanku.

Hari ini 16 Mei 2004, kenangan itu kembali lagi. Memutik di pucuk fikiranku,
ingatan mengenai kisah Cikgu Kamelia bermain di jiwaku, pada hari guru ini. Sekolah
Menengah Kebangsaan Seri Indah sepi tanpa kehadiran Cikgu Kamelia. Cikgu Kamelia
telah berjaya mengubah Kamarul, Nizam, dan Fadzil. Kini kenangan yang tinggal
hanyalah ‘Catatan Buat Cikgu Kamelia.’ Bisik hatiku sayu dalam dilema, ‘adakah ini
salahku?’

Posted in Labels: | 0 comments

Bicara Tentang Guru

Seorang anak kecil bertanya,
Ibu, siapakah guru?
Ibu tersenyum.
Guru itu pendidik dan pengajar,
Guru itu insan mulia,
Hatinya penuh kasih dan sayang,
Curah ilmu siang pun malam.

Seorang anak kecil bertanya,
Ibu, jasanya guru?
Ibu tersenyum lagi.
Guru bekalkan kita ilmu,
Didik kita membaca, menulis, juga mengira,
Diasuhnya kita moga kelak berguna,
Melengkapi laluan pendeta segala,
Gurulah pencinta ilmu.

Seorang anak kecil bertanya,
Ibu, apa patutnya pabila bertemu guru?
Ibu tersenyum lebar kali ini.
Hormati dan sayangi guru,
Timbalah ilmu daripadanya,
Buangkan segan,
Nyahkan silu,
Belajar tak kenal erti malu,
Pabila tiba masanya,
Ucapilah Selamat Hari Guru.

Seorang anak kecil berkata,
Ibu, kelak dewasaku ini,
Akan kusayang dan kuhormat guru,
Sebagai sayangku buat ibu,
Hormatku pada abah,
Citaku untuk bergelar guru,
Biar bisa kucurah baktiku,
Demi Agama, Bangsa pun Negara.

Posted in | 0 comments

Air Mata Ibu Pertiwi

Menitis air mata ibu pertiwi,
Melihat anak bangsanya mati akal,
Terjajah di tanah sendiri,
Terkubur maruah pribumi sendiri.

Menitis air mata ibu pertiwi
Menatap anak bangsanya hilang akal,
Memamah darah daging sendiri.
Menjamah ehsan pekerti bumi.

Menitis air mata ibu pertiwi,
Mendoakan anak bangsanya yang tajam akal,
Menggenggam kebebasan pun kemerdekaan,
Meghunus pena penghidup perpaduan,
Melangkah gagah tiada berpenghujung,
Mengibar megah Jalur Gemilang.

Menitis air mata ibu pertiwi,
Menangisi bangsanya nan alpa kembali,
Menyaksikan bangsanya masih bernafas di dalam Lumpur,
Melagukan nyanyian rakyat berentak barat,
Mengabaikan darah merdeka.

Air mata ibu pertiwi,
Masih mengalir lagi,
Jadi hiburan anak bangsanya,
Menanti terjaga raksasa maha kejayaan,
Mengukir senyuman ibu pertiwi.

Merdekakanlah ibu pertiwi,
Dari jajahan air mata penyesalan,
Dari jajahan air mata kehampaan,
Dari jajahan air mata kepiluan,
Semoga kita kan kekal mengekang air mata ibu pertiwi.

Posted in Labels: | 0 comments

Bukan Sekadar Ceritera

Meratap citra pencinta,
Kepada maha pencipta,
Lusuh kasih lumpuhlah sayang,
Mati hatinya tak berbelas lagi.

Tangis si kecil ketakutan,
Melihat barisan kejaman,
Rindu si kecil tiada berpenghujung,
Ayah dan bonda tiada.

Hilang kemanusiaan,
Terhindar kewarasan,
Yang tinggal kekejaman tiada kasihan.
Pulangkan keimanan,
Kembalikan keamanan,
Hentikan segala kekejaman.

Tuhan namamu kuseru,
Limpahkan rahmat redhamu,
Semoga dunia kembali selesa,
Bukan sekadar ceritera.

"Puisi ini telah dilagukan atas kesedaran tanggungjawab membangunkan keinsafan dalam diri insan, turut diselitkan di kaki laman ini"

Posted in Labels: | 0 comments

Terimalah Kasihnya Seorang Guru

Terimalah kasihnya seorang guru,
Hadirnya dia bersama kasih sayang,
Membenihi akal fikiran muda bestari
Moga takut tuhan,
Moga hormat orang tua,
Moga kenal diri sendiri.
Senyumannya ikhlas ke bilik kecil itu,
Melihat manusia berseragam putih menanti berpekerti.
Hatinya ghairah melonjak tapi ingin menangis,
Kerna hormat padanya tinggi yang maha amat.
Dia memang seorang guru sejati.

Terimalah kasihnya seorang guru,
Kini berdirinya dia di bilik kecil itu,
Melihat berpasang-pasang mata yang dahaga,
Bak ingin meneguk sedikit ilmu darinya.
Dia tidak sengkek berkongsi harta dari kocek alam,
Ditatangnya buat hirupan setiap orang,
Agar tiada yang kematian masa depan,
Tiada yang terbunuh pada langkah pertama.
Mahunya dia jalan berbimbing tangan
Bersama anak-anak kecil itu,
Menuju ke Dewan Besar Menara Gading.
Dia memang seorang guru sejati.

Terimalah kasihnya seorang guru,
Hari ini, dia perlu melangkah keluar dari bilik kecil itu,
Sambil membimbit kenangan dan pengorbanan.
Namun, senyumnya belum pun jua berganjak.
Biarpun anak matanya sudah basah dek pengalaman.
Dari bilik kecil itu,
Dia tetap dihati, dia tetap mahaguru.
Sekali lagi,
Dia memang seorang guru sejati.

Terima kasih buat seorang guru,
Jasanya tiada berganti biarpun zaman sudah bercicit.
Matanya berjanji tiada akan berhenti berjasa,
Guru itu bukan suatu tugas
Namun suatu amanah dan anugerah.
Usah alpa gelaran ‘cikgu’ tak pernah bersara,
Oleh itu,
Benarkan kami mengungkap suatu penghargaan,
Terima kasih ‘Cikgu’!

Posted in Labels: | 0 comments

Pantun Kehidupan

Songket lengkap buat selepang,
Selepang berjalur sutera asli,
Tulus diungkap selamat datang,
Salam dihulur penyambut seri.

Beri kalam kusambut kalam,
Kalam dihulur silat melayu,
Beri salam kusambut salam,
Salam berjalur sayang dan rindu

Patah Galah duduk berselang,
Sumpit jatuh kelapa muda,
Biar alah hidup bersenang,
Tidak lusuh iman pahala.

Gendang pahlawan gendang pusaka,
Buat penaik semangat juang,
Kalaupun bulan jatuh ke riba,
Budi yang baik tetap dijulang.

Burung kedidi terbang tinggi,
Singgah bertandang di Pulau Jawa,
Pemimpin berbudi rakyat hormati,
Jadi sanjungan sepanjang masa.

Posted in | 0 comments

Rindu yang Sakit

Ini kisah rindu yang sakit,
Kutenung jauh ke lubuk pekerti,
Melihat mata berbudi berbadi,
Menyusur lembah gemilau keiblisan,
Tak kenal erti belas pun kasihan,
Tak luntur kekejaman dan keegoan,
Kerana menyentuh pusaka syaitan.

Sakit benar rindu anak kecil itu,
Ajal ayahnya bersimpuh hina,
Bukanlah syahid di lembah juang,
Namun tersungkur di lorong hanyir,
Meracuni darah keturunan.
Dosa apakah anak kecil itu?

Tersandar malu ibu tua itu,
Si tunggal yang dilahirkan menggenggam bencana.
Anak harapan mengusung kerandanya,
Lebih dahulu menempah liang,
Lebih dahulu mengukur kapan,
Lebih dahulu meninggalkannya,
Dan,
Mewasiatkan sebidang penghinaan.
Dosa apakah ibu tua itu?

Rindu itu benar-benar sakit,
Benar-benar pedih menghiris.
Rindu itu tiada indahnya lagi,
Semua kerana dia,
Semua kerana benda itu,
Semua kerana Dadah.
Kerananya rindu itu sakit.

Posted in | 0 comments

Dari Mata Burung



Dari mata burung,
Tersingkap dusta dan nista,
Kristal bahagia berkecai di tanah,
Mencuit hati batu permata,
Lebur dimamah simpati.

Dari mata burung,
Terlihat diktator dunia,
Terserlah kejahilan leluhur silam,
Tergamam sejarah usang,
Sirnalah warna kedaulatan.

Mengapa dari mata burung?
Bukankah dari mata ilmuan perlunya?

Dari mata burung,
Manusia kian alpa,
Namun, sampai bila?
Cerita hari ini,
Jadikanlah pedoman,
Bukan dongengan.
Kerana,
Mata burung tidak dapat meramal masa depan.

Posted in Labels: | 0 comments