Gerimis Ramadhan

Sama seperti dulu-dulu,
Puas kutepis gerimis yang jatuh ke pipi,
Namun tak pasti kerana ianya tetap di situ,
Gerimiskah? Atau air mataku?
Kerana Ramadhan ini terasa sunyi benar tanpa mereka,
Lain sungguh segalanya.

Dulu,
Di sinilah ibu acapkali bertanya,
Nak baju raya warna apa?
Nak dijahit bagaimana rupa?
Berapa pasang mahumu? Sambil dicium-cium pipiku,
Aku pula,
Cuba mengelak kerana malu di depan orang.
Kini semua sudah sepi,
Kalau hari ini aku ditanya
Aku pastinya tidak lagi mahukan baju raya berpasang-pasang,
Cukuplah aku punya ibu bersama,
Aku mahu ibu.
Akan kupeluk erat kucium-cium tak mahu aku malu lagi.

Dulu,
Waktu beginilah ayah sudah mulai bertanya,
Juadah hari ini apa mahumu?
Airnya nak yang mana satu? Sambil tersenyum.
Aku pula,
Sibuk merajuk kerana segalanya seperti tidak cukup,
Kerana ayah terlupa bawa pesanku,
Kerana ayah tersalah cita rasanya.
Kini aku sesali,
Cukuplah jika dapat berbuka bersama,
Aku mahu ayah.
Jika ayah kembali biar ayah yang aku layani,
Takkan lagi merajuk sendiri,
Apa pun bawaanmu aku hargai.

Hari ini segalanya sepi,
Segalanya sunyi kerana aku sendiri,
Ya Allah,
KAU sampaikanlah amalanku ini,
Buat kedua orang tuaku,
Tempatkanlah mereka bersama orang yang KAU sayangi,
Kerana mereka tak pernah jemu sayangkan anak ini,
Inilah tinggal untukku berbakti.

Posted in | 0 comments